Drama Hero Komik
HIBURAN
Rasa GempakSERONOK melihat betapa berkobar-kobarnya keinginan barisan pelakon remaja yang bakal menjadi pelapis dunia hiburan ini bercerita tentang keberuntungan mereka berada dalam dunia yang tidak mampu dihuni oleh semua orang.
Bertemu Ayie, Aedy, Alang, Alib, Aeri, Nana, Finnie dan Am di lokasi penggambaran yang mengetengahkan mereka sebagai tunjang utama penceritaan Hero Komik untuk terbitan RTM1, masing-masing melemparkan pandangan paling jujur terhadap dunia lakonan. Mereka juga memberitahu ambisi yang semuanya terarah kepada bidang ini.
Sedang Aeri dan Aedy begitu teruja untuk memiliki rumah produksi sendiri, Nana, Am, Alang, Alib serta Finnie memburu kerjaya sebagai pelakon disegani. Ayie pula tidak berganjak dengan keputusan untuk menjadi pengarah fotografi.
Kenapa berlakon?
AYIE: Sebab minat dan nak tolong keluarga. Tapi saya berlakon pun secara tak sengaja dan bila lihat pendapatan ini boleh tolong keluarga, saya teruskan. Kira ini macam kerja saya.
FINNIE: Saya pun bantu keluarga dan kumpul duit sendiri untuk sambung belajar.
AEDY, AERI, ALIB: Minat dan cari duit sendiri.
AM: Saya pun minat sejak dari sekolah lagi. Saya minat peragaan juga. Tapi dulu famili halang namun akhirnya mereka restu sebab melihat bidang ini ada positifnya.
ALANG: Saya berminat dengan perkara yang berkaitan dunia seni. Sebenarnya saya bermula dengan teater dan kini berjinak dengan drama. Apa yang penting, saya cari tabungan untuk bayar yuran pengajian saya.
NANA: Saya sangat minat dan selalu cakap depan cermin seorang diri sampai famili saya kata saya ada kawan hantu sebab suka cakap sorang-sorang.
Tapi kenapa pilih lakonan, kenapa tak buat kerja lain?
AEDY: Sebab kita dapat merasa menjadi orang lain. Bila kita berlakon, kita akan dapat pelbagai watak yang tak mungkin berlaku dalam kehidupan sebenar.
AERI: Betul, saya setuju. Misalnya kita boleh jadi anak orang kaya, orang susah, jadi semua karakter yang orang lain mungkin tak merasa.
Ia satu pengalaman yang tak semua orang rasa dan kadang-kadang kerja ini membawa kami masuk ke dunia orang dewasa. (Semua yang lain bersetuju).
Apa seronoknya dunia lakonan? Waktu kalian terbatas, pasti cara kalian membesar tak sama dengan remaja lain?
FINNIE: Saya mula berlakon sejak usia enam tahun. Tapi tak pernah rasa dunia ini tak seronok. Sebenarnya, di tempat kerja, saya juga bermain. Bermain dengan watak saya.
Dan apa yang saya suka tentang lakonan ialah pergaulan yang telah membuat saya matang. Saya dapat belajar banyak benda dalam dunia ini.
AEDY: Saya suka dunia ini sebab ia telah membawa saya mengembara ke banyak tempat yang tak akan saya pergi kalau bukan kerana berlakon. Dan paling seronok sebab semuanya ditanggung. Free! (ketawa sambil semua juga bersetuju).
ALANG: Saya bermula dengan teater. Jadi keseronokan sudah bermula di situ. Berbeza drama, teater lebih memberi kesan yang mendalam sebab saya tak perlu fikir tentang konti atau shot-shot kamera. Namun kedua-duanya sama seronok.
Bukan sebab nak glamor?
AEDY: Bohonglah kalau saya kata saya tak nak glamor. Glamor tu penting untuk saya dapat lebih banyak peluang berlakon.
AYIE: Saya tak kisah. Saya tak berlakon untuk glamor. Saya berlakon sebab ini pekerjaan saya, tapi lepas bekerja baru datangnya glamor.
NANA: Glamor dan bakat kena seimbang.
Perasaan pertama kali berlakon?
AYIE: Gabra sebab saya berlakon dengan pelakon-pelakon besar tanah air. Sementara saya pula sangat kerdil, membuatkan saya tak yakin pada diri sendiri.
Namun sebab semua memberi tunjuk ajar, saya jadi selesa. Dari saat pertama kali berlakon, saya tekad untuk jadi lebih baik dalam setiap pekerjaan saya.
AEDY (mewakili teman-teman lain): Gempak rasanya. Macam tak percaya kami berlakon (ketawa).
Berbaloi tak pendapatan yang kalian peroleh? Pernah kena tipu tak dibayar? Duit lakonan buat shopping?
ALANG: Berbaloi. Tapi macam saya kata tadi, saya simpan duit lakonan untuk tabungan kuliah saya. Dan separuh saya simpan untuk masa depan. Penting merancang masa depan.
AEDY, FINA & AERI: Sangat berbaloi. Tapi pernah juga dapat bayaran yang sangat ciput. Tapi tak apalah.
NANA: Berbaloi untuk usia kami. Bayangkan walaupun penat, tapi kerja seminggu yang kami lakukan, mungkin bayarannya melebihi gaji sebulan pekerja pejabat. Dan duit itu saya buat shooping, tak payah minta mak abah lagi.
AEDY: Ya, boleh beli jenama Quicksilver (ketawa).
AM: Saya pernah ditipu, tidak dibayar wang selebihnya selepas drama ditayangkan di televisyen.
AYIE: Saya simpan duitnya. Buat belanja sekolah dan bantu famili mana yang patut.
Berlakon seronok tapi sekolah selalu tercicir, betul?
SEMUA: (Ketawa).
AEDY: Betullah tu. Tapi ini pengorbanan (ketawa). Walaupun tercicir, saya tak abaikan sekolah. Belajar tetap belajar.
AYIE: Saya akui saya banyak tercicir di sekolah. Malah masa nak menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) yang lalu, saya cuma ada lima hari untuk ulang kaji sebab sibuk berlakon.
Tapi itu bukan alasan untuk saya lupakan tanggungjawab saya sebagai pelajar. Saya mahu jadi pelakon yang tak tercicir dalam pelajaran.
Kalian menghadapi tekanan di sekolah, daripada orang yang tidak suka kalian?
FINNIE: Ya, sampai saya malu nak ke sekolah. Nama saya pernah diconteng dalam tandas perempuan dan tembok sekolah, cakap saya pelakon murahan dan macam-macam lagi.
Saya sangat malu, tapi saya tetap ke sekolah. Sebab saya tahu, tak semua perkara yang kita buat orang suka. Jadi saya terima.
NANA: Saya pernah ada perasaan tak mahu ke sekolah juga sebab diejek dengan teruk dan ada teman yang tikam belakang. Mereka tanya saya, 'Kau ingat kau bagus sangat ke? Pelakon murahan'.
AYIE: Saya lebih daripada diejek. Saya pun pernah dibelasah sebab mereka tak suka saya. Selalu yang jadi mangsa ialah motor saya. Macam-macam mereka buat pada motor saya. Pernah lampu dipecah, tayar belakang dicabut dan paling teruk mereka tolak motor saya masuk dalam longkang. Tapi saya anggap perkara ini sebagai normal. Macam Finnie kata, tak semua orang suka kita. Jadi saya terima dan kadang-kadang perkara-perkara ini saya masukkan dalam mood sewaktu berlakon (ketawa).
AEDY: Saya kena ejek paling teruk selepas membawa watak Mawi dalam filem Tentang Bulan. Malu masa tu tak boleh cakap sampai rasa tak nak ke sekolah (ketawa).
Apa yang kalian mahu lihat mengenai dunia pelakon remaja seperti kalian?
AEDY: Mahu lihat lebih banyak peluang diberikan dengan menonjolkan kami sebagai watak utama, bukan sekadar jadi anak atau pelakon kanak-kanak yang memenuhi sesuatu cerita.
AYIE: Tapi saya lihat dewasa ini peluang mengetengahkan kami sebagai karakter utama sudah mula tumbuh. Ia perkembangan yang baik.
No comments:
Post a Comment